SEPTEMBER 2026

SARAWAK MAHU PROSES MINERAL TEMPATAN UNTUK INDUSTRI SEMIKONDUKTOR


KUCHING, 23 September 2026 – Sarawak mahu memastikan sumber mineral strategik negeri diproses dan diberi nilai tambah dalam rantaian industri tempatan, termasuk untuk menyokong pembangunan sektor semikonduktor.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, pembangunan sumber mineral tidak seharusnya terhenti pada aktiviti pengeluaran bahan mentah, sebaliknya perlu disokong oleh pengetahuan, teknologi dan kepakaran tempatan supaya sumber berkenaan dapat menghasilkan nilai ekonomi yang lebih tinggi.

"Perkembangan mineral resources mesti dipandu oleh tiga perkara iaitu knowledge, governance dan sustainability," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 di Hotel Riverside Majestic. 

Menurutnya, keputusan berkaitan pembangunan mineral perlu dibuat berdasarkan data saintifik, pemetaan yang tepat, penilaian alam sekitar serta tadbir urus yang jelas bagi memastikan sumber tersebut dibangunkan secara bertanggungjawab.

Abang Johari berkata Sarawak juga perlu mengelakkan keadaan di mana sumber mineral yang mempunyai nilai strategik hanya dikeluarkan dan dihantar keluar tanpa melalui proses yang mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri.

"Kalau ada mineral yang penting, kita mesti proses. Jangan hantar keluar kerana pada pandangan saya ada sumber yang sangat penting dan ia berkaitan dengan pengeluaran semikonduktor," katanya.

Beliau berkata sumber berkenaan mempunyai potensi digunakan dalam penghasilan komponen teknologi, termasuk bagi menyimpan data dalam cip bersaiz kecil, selaras dengan perkembangan industri semikonduktor.

Katanya, Sarawak kini turut membangunkan keupayaan sendiri dalam reka bentuk cip menerusi penyelidikan yang dilaksanakan bersama syarikat terkemuka, manakala pengeluaran cip memerlukan sokongan kemudahan foundry dan kepakaran khusus.

"Kita sudah ada cip kita sendiri yang reka bentuknya dibuat oleh orang Sarawak. Kita hanya perlu menghasilkan cip itu berdasarkan reka bentuk kita sendiri dan foundry kita," katanya.

Beliau berkata pendekatan itu menunjukkan pentingnya hubungan antara pengurusan sumber, penyelidikan, teknologi dan pembangunan industri supaya kekayaan sumber negeri dapat diterjemahkan kepada produk bernilai tinggi.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Tanah dan Survei perlu terus memperkukuh fungsi penguatkuasaan dan mineral bagi memastikan pengurusan sumber negeri disokong oleh data, kepakaran serta tadbir urus yang baik.